Majlis Pembandaran Hang Tuah Jaya Hang_Tuah_Jaya

Majlis Pembandaran Hang Tuah Jaya

Majlis Pembandaran Hang Tuah Jaya telah ditubuhkan pada 1 Januari 2010 . Tujuan penubuhan MPHTJ adalah untuk membangunkan seluruh kawasan Hang Tuah Jaya sebagai pusat ICT dan Multimedia secara bersepadu sebagai pengerak kehidupan, juga untuk merancang dan membangunkan zon kediaman yang selesa dan lengkap dengan Infrastruktur sosial dan memenuhi segala prinsip pembangunan Bandar Mampan.

Latar Belakang MPHTJ

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Kerajaan Tempatan 1976, (Akta 171) sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan bagi kawasan Hang Tuah Jaya. Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya mula beroperasi pada 1 Januari 2010. Kawasan Pentadbiran Majlis Perbadanan Hang Tuah Jaya (MPHTJ) pada asalnya merupakan kawasan pentadbiran Perbadanan Hang Tuah Jaya (PHTJ) yang telah diwartakan didalam Warta Kerajaan No. 44 bil.PUN(M)353/46/77 bertarikh 19 Januari 2006. Berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Akta Kerajaan Tempatan 1976(Akta 171), Kawasan Hang Tuah Jaya akan diwartakan semula sebagai kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi menggantikan warta asal sebagai kawasan Perbadanan. Berkeluasan 35,733.04 ekar, Hang Tuah Jaya terletak di tengah-tengah Negeri Melaka meliputi kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri dan merangkumi 3 Daerah iaitu sebahagian Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.Pintu Masuk MPHTJ ialah melalui Plaza Tol Ayer Keroh yang terletak dalam kawasan Alor Gajah yang merupakan antara plaza tol terkenal di negara ini. Sebaik sahaja pelancong memasuki plaza tol itu, mereka disajikan dengan kawasan pelancongan yang menarik disekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC.)

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya ini berperanan penting kerana Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka terletak di dalam kawasan pentadbirannya. Adalah menjadi aspirasi Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadikan kawasan Perbandaran Hang Tuah Jaya ini sebagai kawasan kosmopolitan yang mampu menjana pembangunan pelbagai aspek meliputi Ekonomi, Sosial, Infrastruktur dan Rekreasi menerusi penerapan konsep K-Ekonomi, I-Village, K-Komuniti dan Bandar Siber. Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya akan berusaha gigih mengurus tadbir dan memastikan Hang Tuah Jaya membangun menjadi sebuah Bandaraya Pintar dari aspek pentadbiran, perkhidmatan dan perekonomian yang ideal untuk belajar, bekerja, mendiami dan berekreasi seiring gagasan 1 Malaysia. Perancangan yang teliti dan bersistematik akan menjadikan kawasan Perbandaran ini kawasan persekitaran yang selamat, kondusif dan dapat mempertingkatkan kualiti kehidupan penduduknya.

Visi

Menjadikan Hang Tuah Jaya Bandaraya Pintar bertaraf dunia berkonsepkan Teknologi Hijau

Misi

Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya peneraju perkhidmatan dan pembangunan bertaraf dunia

Objektif

  • Membangunkan Hang Tuah Jaya sebagai pusat ICT dan Multimedia secara bersepadu sebagai pengerak kehidupan.
  • Merancang dan membangunkan zon kediaman yang selesa dan lengkap dengan Infrastruktur sosial dan memenuhi segala prinsip pembangunan Bandar Mampan.
  • Merancang dan Menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat dan kondusif serta mengalakkan penjanaan peluang pekerjaan yang luas dan berkualiti.
  • Merancang dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang holistic menerusi pembangunan hub pendidikan dan institusi-institusi pendidikan tinggi.
  • Merancang dan menyediakan kawasan rekreasi dan landskap berkualiti sesuai dengan Imej MPHTJ sebagai Bandaraya Pintar.